Friday, February 10, 2012

Pengorbanan Rasulullah s.a.w


Pengorbanan Junjungan Besar Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam

Sayugia kita menghayati kisah kehidupan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk menyuburkan cinta kepada Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam.

Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam melalui fasa kehidupan yang berbeza antara sebelum dilantik menjadi nabi dan selepas mengajak kaumnya kepada Islam. Jika sebelum dilantik menjadi utusan Allah, kaumnya memujinya, menyanjungnya, mempercayainya, menyayanginya, semuanya berubah 180 darjah ketika mana nabi sallallahu ‘alaihi wassalam memulakan dakwah kepada kaumnya.


Selepas turunnya wahyu yang pertama, Khadijah binti Khuwailid radiallahu ‘anha membawa suaminya yang tercinta, Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bertemu bapa saudaranya, Waraqah bin Naufal.

Waraqah menyebutkan satu pernyataan yang jelas kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:

“Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu..”
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terkejut. Masakan tidak, kaumnya selama ini menyanjungi baginda sallallahu ‘alaihi wassalam, tiba-tiba hari ini Waraqah menyatakan bahawa nabi sallallahu ‘alaihi wassalam akan diusir oleh kaumnya sendiri.

Waraqah mengulas lagi: Tidak seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa melainkan dia akan dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau mengalaminya, pasti aku akan menolong engkau dengan bersungguh-sungguh. Itulah isyarat Waraqah kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bersedia dengan situasi yang buruk akan menimpa baginda sallallahu ‘alaihi wassalam.

Wahyu kedua turun, mengarahkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam bangkita melakukan dakwah. Surah al-Muddatsir: 1-7
*       [1] Wahai orang yang berselimut!
*       [2] Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
*       [3] Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
*       [4] Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
*       [5] Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
*       [6] Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
*       [7] Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Allah s.w.t mengeluarkan arahan supaya nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menyeru kaumnya secara terbuka. Allah mengakhiri arahan tersebut dengan amaran dan peringatan kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam supaya tidak mengharapkan balasan dan kenikmatan mahupun kesenangan untuk dakwah yang dilakukan. Allah mengarahkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bersabar, sabar dan sabar. Ujian yang getir sedang menunggu nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.

Dakwah Secara Terbuka Kepada Kaum Kerabat

Siri dakwah secara tertutup berjalan tanpa gangguan daripada musyrikin Mekah. Tahun ke empat kenabian, Allah s.w.t menurunkan arahan agar dakwah dilakukan secara terbuka:

Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. [Asy-Syuara: 214]

Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam mengumpulkan keluarganya daripada Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib. Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam memulakan dakwahnya:

“Segala puji bagi Allah, aku memuji Nya, dan meminta pertolongan Nya, aku beriman dengan Nya dan aku berserah kepada Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan tiada sekutu bagi Nya.

Sesungguhnya orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu khususnya dan kepada semua manusia umumnya.

Demi Allah, kamu pasti akan mati sebagaimana kamu pastinya akan tidur, kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu jaga daripada tidur, dan kamu pastinya akan dihisab terhadap apa yang kamu kerjakan. Balasannya hanyalah syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya…”

Abu Talib mendengar seruan anak buahnya sallallahu ‘alaihi wassalam, terus beliau menjawab:

“Sungguh kami suka untuk membantumu dan menerima nasihatmu serta sangat mempercayai berita yang engkau sampaikan. Mereka ini ialah adik beradikmu yang sedang berkumpul, sementara aku hanyalah salah seorang daripada mereka. Akan tetapi, akulah yang paling segera menyahut apa yang engkau suka. Maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan mempertahankan diri mu. Akan tetapi diriku sendiri masih belum terasa untuk meninggalkan agama Abdul Muttalib.”

Tetapi Abu Lahab, bapa saudara nabi sallallahu ‘alaihi wassalam memberikan reaksi negatif yang sangat keras.

“Demi Allah! Ini adalah keburukan. Halanglah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain daripada kamu”.

Mendengar kata-kata Abu Lahab, Abu Talib menjawab:

“Demi Allah! Aku akan mempertahankannya selagi hayat masih ada”.

Seruan Bukit Safa

Di atas Bukit Safa nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menyeru umatnya, baginda sallallahu ‘alaihi wassalam berkata:

“Sesungguhnya aku ini adalah seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan kamu….”

Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam berkata lagi:

“Hai semua kaum Quraisy, selamatkan dirimu daripada api neraka! Hai sekalian Bani Ka’ab, selamatkan dirimu daripada api neraka! Hai Fatimah Bte Muhammad! Selamatkan dirimu daripada api neraka! Demi Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu daripada hukuman Allah, melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu”.

Mendengar perkataan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam, geram dan meledaklah hati Abu Lahab. Lalu diambilnya batu, dan dilemparkannya kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Lalu dengan api amarah yang menjulang, Abu Lahab berkata:

“Celaka engkau pada hari ini! Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?”. Maka Allah s.w.t menurunkan surah al-Masad, melaknat Abu Lahab dan isterinya. “Celakalah kedua tangan Abu Lahab, binasalah ia!”.

Penentangan Bermula….

Kaum Musyrikin berkumpul, memikirkan bagaimana mahu menghasut orang ramai agar tidak mendengar dakwah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.  Ada yang mencadangkan agar nabi sallallahu ‘alaihi wassalam difitnah sebagai seorang bomoh, ada yang mencadangkan difitnah sebagai seorang gila, ada yang mencadangkan agar difitnah sebagai penyair, ada yang mencadangkan agar difitnah sebagai seorang ahli sihir. Akhirnya mereka memilih untuk memfitnah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sebagai seorang ahli sihir.

Fitnah dimulakan, mereka duduk dipinggir-pinggir jalan. Mereka memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dengan Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam kerana beliau seorang ahli sihir.

Abu Lahab lah yang menjadi kepalanya, dia mengekori ke mana nabi sallallahu ‘alaihi wassalam pergi, lalu melemparkan fitnah kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang menyampaikan Islam kepada manusia.

Mereka melancarkan perang saraf. Mereka mengejek dan memfitnah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Mereka menimbulkan syubhat dan keraguan ke atas apa yang dibawa nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.

Setelah semuanya tidak berhasil, mereka menawarkan pula tawaran ‘toleransi beragama’ kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Mereka berkata: “Kalau kamu sanggup menerima tuhan-tuhan kami, maka kami akan menyembah Tuhan kamu”.

Kata mereka lagi: “Wahai Muhammad, marilah, biar kami sembah apa yang engkau sembah, dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kami dan kamu sama-sama berkongsi dalam urusan ini. Kalau apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah, itu bererti kami telah mengambil habuan kami daripadanya, dan kalau apa yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah, bererti kamu telah mendapat habuan kamu daripadanya”.

Allah s.w.t pun menurunkan surah al-Kafirun. Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menolak tawaran diplomasi itu, tiada ruang tolak ansur antara tauhid dan syirik, iman dan kufur.

Penyeksaan Mental dan Fizikal Ke Atas Nabi

Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam juga adalah besan kepada Abu Lahab. Anak perempuan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum berkahwin dengan anak lelaki Abu Lahab. Selepas dakwah bermula, Abu Lahab memaksa anak lelaki menceraikan puteri-puteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam.

Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil, jahatnya seperti suaminya. Sungguh mereka pasangan yang secocok. Dia membawa duri dan meletakkannya di laluan yang sering dilalui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam.  Dia meletakkan duri di hadapan pintu rumah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam di waktu malam.

Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina oleh jirannya-jirannya. Tiada seorang pun jirannya menerima dakwah kecuali Hakam bin Abi al-‘As. Jiran-jiran yang lain sangat memusuhi nabi sallallahu ‘alaihi wassalam kerana dakwah yang dibawa. Mereka pernah mencampakkan perut kambing ke atas baginda sallallahu ‘alaihi wassalam semasa baginda sallallahu ‘alaihi wassalam sedang mendirikan solat, bahkan mereka pernah mencampakkan perut kambing dengan periuk-periuk sekali ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang mendirikan solat hinggakan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terpaksa membuat hadangan ketika solat untuk mengelakkan gangguan mereka. Sehingga nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terpaksa bersuara:

“Hai Bani Abd Manaf, jiran jenis apakah kamu ini?”

Uqbah bin Abi Mu’ayyat pula sangat keji tindakannya. Golongan musyriki Mekah saling mencabar antara satu sama lain:

“Siapakah yang berani membawa uri unta keluarga si polan dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sedang sujud?”. Lalu bangkitlah Uqbah menyahut cabaran itu. Diletaknya uri unta di belakang nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika baginda sallallahu ‘alaihi wassalam sedang sujud.

Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu yang ada ketika itu hanya mampu memerhatikan, dan tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantu nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Kata beliau radiallahu ‘anhu:

“Aku memerhatikan apa yang dilakukan, tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa, alangkah baiknya kalau aku ada kekuatan untuk menghalang”.

Ketika si musyrikin ketawa gembira melihat nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina, datanglah Fatimah radiallahu ‘anha membersihkan belakang ayahnya yang tercinta.

Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam hanya membalas perbuatan mereka dengan doa kepada Allah:

“Ya Allah, ke atas Mu untuk menghukum orang Quraisy ini”.

Uqbah juga pernah memijak leher nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang sujud sehingga hamper tersembur kedua biji matanya.

Abu Jahal pernah berkata kepada konco-konco musyriknya:

“Adakah Muhammad menyembamkan mukanya ke tanah (sujud) di hadapan kamu… Demi al-Lata dan al-Uzza, kalau aku lihatnya, aku akan pijak tengkoknya dan aku sodokkan mukanya ke tanah…”

Utaybah bin Abu Lahab pernah menarik baju nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dan meludah wajah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.

Abu Jahal pernah cuba membunuh nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dengan menggunakan batu yang besar. Tindakan nekad beliau tanpa mempedulikan perang kabilah yang mungkin berlaku, tetapi Allah s.w.t menyelamatkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.

Uqbah pernah meletakkan kainnya pada leher nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sambil mencekiknya dengan sekuat hati, kemudian Abu Bakar radiallahu ‘anhu datang menyelamatkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sambil berkata:
“Apakah kamu ingin membunuh seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku hanya Allah?”

Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam pernah pergi ke Thaif, untuk menyeru masyarakat Bani Thaqif menyembah Allah. Tetapi dakwah baginda sallallahu ‘alaihi wassalam ditolak, bahkan dibalas dengan lemparan batu di sepanjang jalan yang dilakukan oleh kanak-kanak, hamba dan kaum wanita. Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam tercedera, Zaid bin Harithah radiallahu ‘anhu cedera ketika melindungi baginda sallallahu ‘alaihi wassalam.

Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam berdoa:
" اللهم إني أشكو إليك ضعف قوتي ، وهواني على الناس ، أرحم الراحمين أنت ، أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني ؟ أم إلى قريب ملكته أمري ؟ إن لم تكن غضبان علي فلا أبالي ، غير أن عافيتك أوسع لي ، أعوذ بوجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة ، أن ينزل بي غضبك أو يحل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بالله

Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa hinanya aku di mata manusia. Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Yang Maha Pengasih dan Penyayang,kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama ada kepada musuh yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan menjaga urusanku? Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tak kisah. Akan tetapi, kesejahteraan yang Engkau kurniakan melegakan aku.

Aku berlindung dengan WajahMu, yang menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu keredhaan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.

Malaikat Mahu Membalas Dendam

Jibril berkata kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:

“Sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepada mu serta tindakan mereka kepadamu. Allah mengutuskan kepadamu malaikat bukit supaya engkau arahkan dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka”.

Malaikat bukit berkata kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:

“Hai Muhammad, apa yang kamu mahu? Kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka bukit al-Akhsyabayn (dua buah bukit di Mekah), nescaya akan aku lakukan!”

Jawab nabi sallallahu ‘alaihi wassalam: “Malah aku mengharapkan agar Allah s.w.t mengeluarkan daripada sulbi mereka keturunan orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak mensyirikkannya”.
----------------------
Mulia sungguh akhlakmu ya Rasulullah. Engkau membalas tuba yang mereka sirami, dengan susu yang manis lagi menyegarkan. Engkau membalas cercaan mereka dengan doa yang melembutkan.

Maafkan kami Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, kami sering melupakan pengorbananmu, cinta kami kadang-kala mekar, dan kadang-kala kuncup entah ke mana. Maafkan kami wahai Allah.

[sumber rujukan: ar-Raheeq al-Makhtum oleh Shaikh Safiurrahman al-Mubarakfuri, edisi terjemahan bertajuk: Sirah Nabawiah, terbitan YADIM]




0 comments:

Post a Comment